Friday, 26 October 2012

AGI IDUP AGI NGELABAN!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Siapa yang tidak kenal dengan Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI). Seorang penyajak yang terkenal dengan gaya penyampaian sajak yang kreatif dan menggunakan penyampaian artistik. Sangat bertuah saya ketika dapat bertemu dengan tokoh tersebut.
Situasi yang saya ingin kongsikan pada kali ini ialah bagaimana luahan hati tokoh tanah air kita ini AGI berkenaan dengan satu kejadian di mana seorang menteri yang bercakap dalam bahasa Inggeris walaupun ditanya dalam bahasa Melayu. Cerita ini dikongsi ketika seminar antarabangsa anjuran GAPENA.
Menurut beliau, seorang menteri menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris walaupun menteri tersebut di tanya dalam bahasa Melayu. Ketika ditanya, menteri tersebut bersama Timbalan Perdana Menteri membuat lawatan kerja ke luar negara. Walau bagaimanapun, AGI memuji sikap Timbalan Perdana Menteri yang menjawab soalan wartawan dalam bahasa Melayu kerana soalan tersebut memang ditanya dalam bahasa Melayu.
Jadinya tidak perlu orang Melayu tersebut berlagak kononnya berada di luar negara dan menjawab sebarang persoalan dalam bahasa Inggeris. Pada pendapat saya, tidak ada salahnya jika menteri tersebut menjawab dalam bahasa Melayu. Lagipun ketika itu mereka dalam golongan orang-orang Melayu dan sedikit sahaja orang wartawan asing.
Berita tersebut turut hanya disiarkan di Malaysia. Saya bersetuju dengan pandangan AGI di mana beliau sedih kerana orang Melayu sudah hilang jati Melayunya kerana pangkat dan lupa sebenarnya dari mana mereka berasal. Jadi bagaimana pula dengan pandangan anda.sekian sahaja penulisan saya buat kali ini. Ribuan terima kasih kerana anda tetap tekun untuk mengikuti dan terus membaca perkongsian saya. Sekian saja daripada saya.

Thursday, 25 October 2012

POLITIK POLITIK JUGA.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera. Situasi yang saya ingin kongsikan kepada semua pembaca adalah berkaiatan isu politik yang terjadi dalam negara kita ini. Semasa saya membuka komputer riba saya untuk membuat tugasan. Sambil membuat tugasan saya membuka lama ‘Facebook’ untuk mengetahui mengenai perkara-perkara dan isu-isu semasa.
Sewaktu asyik membuat tinjauan, saya telah terjumpa satu video mengenai perhimpunan yang diadakan oleh para pembangkang kerajaan. Dalam keriuhan berhimpun, terdapat beberapa suara-suara sumbang yang berbunyi “ polis anjing UMNO, polis anjing UMNO”. Ayat tersebut dilaungkan secara beramai-ramai sebanyak beberapa kali. Sangat kasar laungan tersebut untuk kta semua mendengarnya.
Walaupun kita tidak menyokong mana-mana pimpinan, kita seharusnya tidak mengeluarkan kata-kata kesat sebegitu kepada pihak yang tidak bersalah. Mengapakah mereka melaungkan perkataan sedemikian rupa ? Adakah selama ini polis dianggap seperti anjing atau tugas sebenarnya adalah menjaga keselamatan dan keharmonian negara sedangkan sudah banyak jasa polis yang ditaburkan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara kita ini.
Dalam hal ini, kita tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu rupa kerana akan membuatkan masyarakat luar memandang serong terhadap kelakuan masyarakat Malaysia khusnya orang melayu. Sudahlah perhimpunan tersebut dilakukan di kawasan terbuka dan boleh disaksikan oleh semua orang sama ada orang tempatan mahupun luar negara. Bukan berniat untuk menyokong mana-mana parti, sekadar mahu berkongsi gelagat sesetengah pihak. Sekian itu sahaja kisah buat kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Wednesday, 24 October 2012

KATANYA PAKAR.


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia blog saya. Di sini saya ingin berkongsi satu perkara yang sepatutnya tidak harus berlaku tetapi telah berlaku.parkara yang saya maksudkan adalah kesalahan ejaan pada banner dan pada beg saguhati. Perkataan yang terlibat iaitu “setiakawan”.
Perkaaan tersebut sepatutnya tidak dieja rapat kerana perkataan majmuk tersebut  bukanlah satu kata majmuk yang mantap dan perkataan tersebut tidak tergolong dalam 15 ejaan kata majmuk yang telah mantap seperti yang tercatat dalam Tatabahasa Dewan. Perkataan yang betul harus la dieja jarak “setia kawan”.
Ejaan yang betul tertulis pada beg saguhati. Saya tertanya-tanya bagaimana kesalahan tersebut boleh berlaku pada seminar pada peringkat antarabangsa. Acara tersebut dianjurkan oleh Gabungan Penulis Nasionnal (GAPENA) yang ahlinya terdiri daripada golongan bijak pandai dan pakar bahasa tetapi masih lagi berlaku kecuaian yang tidak sepatutnya.
 Satu lagi kesalahan yang dapat saya kesan adalah ejaan “patriotime” yang ejaan sebenarnya ialah “patriotisme”. Kesalahan ini jelas terpampang di banner tersebut dan tiada siapa pun yang menegur kesalahan tersebut. Semua sedang sibuk memperdebatkan bagaimana mahu memartabatkan bahasa Melayu sedang kesalahan yang mereka lakukan tidak mereka perasankan.
Ibarat kuman di seberang laut kita nampak, gajah di depan mata kita tidak nampak. Bagi saya, tokoh-tokoh semua harus catna dengan semua benda berkaitan bahasa, bukan hanya tahu berkata-kata tetapi prihatin dan pandanglah dahulu sekeliling mereka sebelum mahu memperelokkan perkara yang besar-besar. Sekian sahaja prkongsian saya buat kali ini. Semoga anda semua berpuas hati. Terima kasih kerana terus membaca.

Tuesday, 23 October 2012

NASIB BAIK SEMPAT ELAK.


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya, semoga sihat-sihat hendaknya. Kegiatan membuang sampah merata-rata kini menjadi gaya hidup yang biasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia sehinggakan ada pelancong Jepun pernah berkata rakyat Malaysia tidak sayangkan negara sendiri .
Situasi pada kali ini berlaku ketika saya mahu ke kelas di kampus. Dalam perjalanan, saya mengekori belakang sebuah kereta Viva berwarna hitam. Sedang asyik menunggang motosikal, setibanya di simpang tiga berhampiran Taman Bernam, tiba-tiba saya ternampak satu beg plastik terbang ke arah saya secara tiba-tiba.
Namun, saya sempat mengelaknya. Berdasarkan pemerhatian saya, saya mendapati bahawa salah seorang penumpang di dalam kereta tersebut telah membuang sampah melalui tingkap kereta itu. Dengan perasaan tidak bersalah dia telah melakukan kesalahan yang agak berat kerana membuang sampah merata-rata. Siapa yang hendak mengutip samaph yang dia buang tadi.
Kita sebenarnya tidak boleh membuang sampah merata-rata kerana akan menyebabkan persekitaran kotor dan kadang-kadang boleh mendatangkan kemudaratan sperti penyakit dan penyakit. Dalam hal ini, masyarakat dikatakan tidak mempunyai nilai sivik yang tinggi kerana bertindak membuang sampah ke luar kenderaan tanpa mengambil kira pengguna jalan raya yang lain.
Bagaiamana jika saya mengelak plastik tersebut tapi mengalami kemalangan. Justeru, saya menyeru pelbagai pihak supaya sedar dan waspada terhadap tindakan yang tidak berpedoman seperti membuang sampah merata-rata. Simpanlah sementara sampah tersebut sehingga tiba di tempat buang sampah yang sepatutnya. Bukannya payah sangat. Sama-samalah kita berganding bahu menjaga kebersihan negara kita demi kesejahteraan bersama. Sekian terima kasih.

Monday, 22 October 2012

WEEKK!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Semoga dalam keadaan sihat hendaknya. Situasi yang saya ingin kongsikan pada kali ini berkenaan panggilan yang biasanya digunakan oleh remaja malahan budak-budak juga. Panggilan yang saya maksudkan ialah panggilan yang tidak elok ataupun panggilan yang tidak sedap didengar malah boleh menyakitkan hati orang lain.
Kisahnya ketika saya pergi ke Tasik Proton City bersama-sama dengan rakan-rakan untuk bersiar-siar. Semasa di sana, terdapat ramai orang yang juga datang untuk beriadah. Semasa sedang duduk di atas sebuah kerusi yang disediakan, saya memerhatikan gelagat tiga orang sahabat yang sedang berjalan. Mereka mula usik-mengusik dan bergurau antara satu sama lain.
Dalam telatah mereka itu, saya dapat mendengar kata-kata salah seorang daripada mereka yang memanggil kawannya dengan panggilan ‘gemok’ lalu kawannya itu membalas dengan memanggilnya ‘pendek’ sebagai satu ejekan. Mungkin pada mereka perkara tersebut hanyalah satu gurauan, sebenarnya jika perkara tersbut berlarutan boleh mendatangkan pergaduhan. Pada pandangan saya, kita tidak seharusnya mengejek seseorang itu dengan nama yang kurang elok untuk didengar.
Sudah elok seseorang itu diberikan nama oleh kedua ibu bapanya. Cuba anak kamu yang sudah kamu berikan nama yang baik tetapi kawan-kawan kepada anak kamu memanggil anak kamu dengan nama yang buruk. Perkara tersebut boleh mendatangkan marah bukan? Saya tahu, ejekan yang dikeluarkan adalah berdasarkan sifat atau fizikal yang dimiliki oleh seseorang.
Walau bagaimanapun, itu adalah kurniaan Allah dan kita tidak boleh memperlekehkannya.  Kita juga harus bersyukur dengan sifat yang Allah kurniakan kepada kita, bukannya mengejek dengan gelaran yang tidak elok. Sekian sahaja buat kali ini. Terima kasih kepada anda yang sudi membaca.

Friday, 19 October 2012

MANUSIA BERUPA KAMBING.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca yang saya kasihi sekalian. Pada kali ini saya ingin berkongsi satu situasi yang semua orang tidak mahu berlaku kepada diri mereka. Situasi yang saya maksudkan ialah kejadian ragut. Kejaian ragut ini semakin meningkat dari hari ke sehari dan sekrang berada pada tahap yang membimbangkan.
Hari ini semasa saya berada di bilik kuliah saya dan kawan-kawan yang terpilih akan berkongsi cerita berkenaan pengalaman hidup mereka. Salah seorang kawan saya berkongsi satu pengalaman telah diragut ketika sedang mengayuh basikal untuk pulang ke rumahnya di Taman Seri Indah. Sungguh saya tidak sangka kejadian tersebut berlaku kepada rakan saya sendiri. Memang kejadian ragut ini semakin berluasa dan patut diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Pada pandangan saya, manusia pada masa ini tidak lagi mengamalkan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka. Mereka banyak melakukan jenayah dan perkara yang tidak baik untuk terus hidup. Seperti situasi di atas, segelintir manusia mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang dengan melakukan jenayah ragut.
Mereka tidak lagi mempedulikan orang lain, apa yang penting bagi mereka ialah mendapatkan duit walau dengan apa cara sekalipun. Walau bagaimanapun, saya juga berharap agar pihak berkuasa seperti polis dapat mengambil tindakan yang sewajarkan bagi membendung kegiatan jenayah sebegini agar masyarakat lain tidak menjadi mangsa di samping mengurangkan kadar jenayah di negara ini.
Cadangan saya hukuman yag sangat berat harus dikenakan kepada penjenayah yang terlibat dengan kegiatan ini supaya kejadian ini tidak berulang dan memberi peringatan kepada orang ramai yang mahu melakukan jenayah ini. Sekian sahaja perkongsian saya buat kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

Thursday, 18 October 2012

MACAM BUDAK-BUDAK!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca sekalian. Situasi yang saya ingin kongsikan pada kali ini berkenaan perangai manusia semasa berada di perpustakaan. Situasi ini berlaku semasa saya berada di Perpustakaan Tuanku Bainun untuk mencari bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
Semasa berada di dalam perpustakaan saya terus mencari buku di bahagian hujung rak. Berhampiran dengan tempat yang saya duduk, terdapat sekumpulan pelajar sedang membuat perbincangan. Apa yang saya lihat ialah suasana yang agak bising dengan celoteh dan gelak tawa daripada mereka dan keadaan tidak seolah-olah tidak seperti berada di perpustakaan.
Mereka langsung tidak menghiraukan pelajar-pelajar lain di sekeliling yang turut berada di perpustakaan tersebut. Apa yang saya agak terkilan, mereka semua merupakan mahasiswa dan mahasiswa yang mempunyai pemikiran yang sangat matang. Sebagai seorang pelajar ataupun mahasiswa dan mahasiswi, kita seharusnya faham mengenai etika semasa berada di dalam perpustakaan.
Kita harus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu tidak membuat bising sewaktu berada di perpustakaan. Namun demikian, perkara ini mungkin diambil mudah oleh pelajar berkenaan sehingga mereka lupa dan mengabaikan nilai dan tanggungjawab mereka sewaktu berada di dalam perpustakaan. Keadaan ini akan menimbulkan masalah kepada orang ramai sekiranya masalah sebegini tidak dibendung.
Keadaan yang sepatutnya senyap ketika di dalam perpustakaan bagi memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar untuk belajar telah diganggu oleh anasir-anasir yang kurang baik. Di harap perkara tersebut tidak akan berlaku lagi. Sekian sahaja tulisan saya buat kali ini. Terima kasih kerana sudi terus membaca.

Wednesday, 17 October 2012

TAK SOPAN BETUL.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca-pembaca blog saya. Keadaan yang saya ingin saya kongsikan pada kali ini adalah pada suatu pagi saya mula membuka komputer riba untuk mencari sedikit maklumat tentang tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. Sambil saya melayari internet, saya turut membuka laman ‘Facebook’ milik saya.
Semasa memerhatikan setiap status yang dikemas kini oleh rakan-rakan saya, mata saya terpandang kepada satu status yang agak kasar yang tertulis “ WTF dude ?” . Status tersebut telah ditulis oleh seorang perempuan melayu yang saya kenal. Agak kenapalah kawan wanita saya menulis perkara yang kasar bertanya saya dalam hati saya? Tidak bolehkah disimpan sahaja di dalam hati ataupun diluahkan saja tanpa perlu ditulis.
 Pada pandangan saya, gadis tersebut tidak seharusnya berkata sedemikian kerana kata-kata itu mempunyai makna yang kurang baik iaitu ‘what the fuck’.  Dalam masyarakat melayu, perkataan itu merupakan satu kata kesat yang akan menyakitkan hati orang yang mendengarnya atau melihatnya. Justeru, kita seharusnya bersabar dan berjaga-jaga dalam melakukan apa-apa tindakan walaupun dalam keadaan yang marah. Kita harus peka dengan sensitivity masyarakat di Malaysia.
 Situasi ini juga akan membuatkan masyarakat mula memandang rendah terhadap diri kita kerana kurangnya adab dan santun dalam berbahasa. Lebih-lebih lagi yang mengeluarkan perkataan tersebut daripada seorang wanita Melayu yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santunnya. Hal ini secara tidak langsung telah mencalarkan imej tersebut.
Diharap kepada pembaca tidaklah melakukan perkara seperti di atas demi menjaga meruah bangsa kita. Semoga kit dapat memuhasabah diri kita semua. Sekian sahaja tuisan saya buat kali ini. Terima kasih kerana setia membaca hingga ke akhirnya.

Tuesday, 16 October 2012

HANYA DI RADIO.


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya ini. pada kali ini saya ingin berkongsi satu situasi di mana pada hari yang tidak sibuk, saya mengambil kesempatan ini untuk merehatkan diri di rumah. Selesai sahaja mengemas rumah, saya duduk bersantai sambil mendengar radio. Penat juga saya mendengar celoteh penyampai radio Hot Fm yang dari tadi sibuk membualkan isu berkenaan alam sekitar.
Ternyata tahap kesedaran  rakyat Malaysia berkenaan kepentingan menjaga alam sekitar berada pada tahap yang rendah sekali. Manusia alpa dengan keindahan alam yang harus dijaga sehinggakan  alam sekitar megalami kepupusan dari segi flora dan faunanya. Apa yang menarik, penyampai radio tersebut mengkritik hebat golongan manusia yang kejam terhadap alam sekitar sambil menyelitkan unsur lelucon agar tidak menyinggung mana-mana pihak. Saya tertarik dengan gaya penyampaiannya yang tersendiri namun mesej yang ingin di sampaikan amat terkesan di dalam hati.
Pada pendapat saya, gaya penyampai radio yang bijak menyampaikan sesuatu maklumat sambil menyelitkan unsur gurauan mampu menarik minat pendengar dibandingkan dengan membaca majalah, suratkhabar dan buku ilmiah. Boleh dikatakan percakapan atau cara berkomunikasi yang baik boleh mempengaruhi minda dan tingkah laku seseorang. Dengan ini, penyampai radio haruslah mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi dalam menyampaikan sesuatu mesej mengikut cara-cara tertentu agar tidak menyingung perasaan pendengar.
Kita sebagai pendengar juga boleh mengambil contoh yang baik dengan mengaplikasikan cara penyampai radio tersebut menyampaikan sesuatu dengan diri kta untuk menyampaikan sesuatu perkara dengan kaedah yang lebih berkesan dan tidak menyinggung mana-mana pihak. Sekian saja coretan saya buat kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

Monday, 15 October 2012

JAWIKU.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pebaca yang saya sayangi. Kisah yang saya ingin kongsikan pada kali ini berkaitan dengan majalah Mastika yang saya telah beli untuk dibaca. Apabila saya membuka beberapa halaman, saya mula tertarik dengan satu artikel yang bertajuk “ Ini bukan cerita politik! Cerita sedih jawi yang hampir mati…”. Dalam artikel ini, penulis menceritakan tentang keunikan yang terdapat di negeri Kelantan. Apa yang dimaksudkan itu ialah penggunaan tulisan jawi.
Setiap pandangan pasti akan terpukau dek tulisan jawi yang terpampar dan menghiasi papan tanda sepanjang jalan di negeri Kelantan. Selain itu, terdapat banyak lagi papan tanda, papan iklan, restoran, nama jalan yang semuanya dieja menggunakan tulisan jawi. Contohnya, pasaraya Tesco dieja dengan ta ya sin kaf wau. Namun, apa yang sedihnya ialah tulisan sebegini tidak boleh dijumpai di negeri-negeri lain di Malaysia.
Pada pandangan saya, penggunaan tulisan jawi semakin terhakis dan dipinggirkan oleh masyarakat di negara ini. Mereka tidak menyedari bahawa tulisan jawi adalah khazanah bangsa Melayu itu sendiri. Generasi muda sudah mula meminggirkan tulisan jawi sejak di sekolah rendah lagi. Usaha untuk memartabatkan tulisan jawi juga kurang dan hampir boleh dikata tidak dilakukan. Jadi, tidak hairanlah suatu hari nanti, khazanah Melayu ini akan hilang dimamah peredaran zaman.
Oleh sebab itu pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya tulisan asal orang Melayu ini tidak akan hilang. Seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu, tulisan jawi ini tidak harus dilupakan. Sekian saja coretan saya buat kali ini. Terima kasih kerana terus membaca.

Friday, 12 October 2012

LEBIHLAH!!!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca yang saya hormati. Saya agak seronok jika dapat mengenakan seseorang yang cakap bermegah tetapi akhirnya terkena pada batang hidungnya sendiri. Tetapi bukan saya ingin menceritakan saya telah mengenakan sesiapa pada pada kali ini. Sebenarnya saya ingin berkongsi satu situasi yang agak luculah pada pandangan saya. Sempena bulan memartabatkan bahasa Melayu ini, saya banyaklah terlibat dengan seminar yang dianjurkan.
 Biasalah apabila bercerita tentang seminar, tentulah banyak tokoh yang diundang bagi berkongsi pendapat dan melontarkan cadangan bagaimana bahasa Melayu harus dimartabatkan. Tidak mahu ada langsung penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang digunakan secara rojak. Sedang sibuk seorang tokoh bercakap tentang memartabatkan bahasa Melayu, menggunakan bahasa Melayu mengikut fonetik dan fonologinya dan mengemukakan cadangan bagaimana mahu memartabatkan bahasa Melayu tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, lalu tokoh  tersebut mengangkat panggilan tersebut bagi memberitahu bahawa dia sedang berseminar.
Ketika beliau mengangkat telefon tersebut, parkataan yang pertama keluar daripada mulutnya ialah “hello”. Tersenyum sendiri saya mendengarnya. Seorang tokoh yang beria mahu bahasa Melayu dimartabatkan telah melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sepatutnya beliau menjawab “apa khabar” ataupun sebagai Islam harus memberi salam. Saya tidak mahu cakap dengan lebih panjang, anda dapat menilai situasi tersebut dengan pandangan anda sendiri. Sekian saja perkongsian saya buat kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

Thursday, 11 October 2012

SAUDARAKU MENANGIS.


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Satu kisah yang ingin saya kongsikan pada kali ini adalah berkenaan kerinduan manusia dengan bahasanya. Kisah ini dikongsikan oleh seorang ustaz dari Thailand. Menurut cerita beliau, pada masa dahulu bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang berpengaruh besar dan sangat meluas di Siam.
 Selepas Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan, ustaz tersebut sangat bangga kerana melihat bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan negara Malaysia. Begitu juga dengan di Indonesia dan Singapura. Bahasa Melayu masih lagi diangkat dan masih lagi diktiraf. Apa yang menyedihkan, bahasa Melayu tidak lagi diktiraf di Thailand, malahan bahasa Melayu dianggap bahasa asning dan tidak diterima di Thailand.
Perkara yang lebih teruk lagi, sekolah-sekolah yang Melayu turut dihapuskan. Bagi melindungi bahasa Melayu, sekolah-sekolah tersebut diubah menjadi sekolah agama tetapi sebenarnya masih menggunakan bahasa Melayu. Pernah warga Malaysia datang ke Bangkok, Thailand dan menuturkan bahasa Melayu. Ada diantara mereka menyatakan dahulunya itulah bahasa mereka, lalu dengan perasaan hiba penduduk Thailand tersebut mengalirkan air matanya.
Begitulah cerita seorang ustaz itu. Saya yang mendengar cerita tersebut mula terfikir, bagaimanalah keadaan di Malaysia pada masa depan? Adakah dalam masa 50 tahun lagi, warga Kuala Lumpur akan menangis jika mendengar bahasa Melayu? Sama-samalah kita renungkan. Sekian saja bingkisan cerita saya pada kali ini. Semoga membuka pandangan yang luas kepada anda semua. Sekian terima kasih.

Wednesday, 10 October 2012

MODEN SANGAT KE?


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Semoga dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini saya ingin berkongsi satu pendapat di mana ramai yang menganggap penggunaan perkataan bahasa Melayu tidak lagi moden ataupun ketinggalan  untuk digunakan bagi mengistilahkan sesuatu perkara.                        Sempena Bulan Bahasa Melayu, banyak seminar yang dianjurkan dalam usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu. 
        Perkara yang saya katakan diawal-awal tadi merupakan topik utama yang sering diperdebatkan. Apa yang menjadi tanda tanyanya adalah bahasa Melayu sudah mempunyai kosa kata yang boleh digunakan bagi sesuatu istilah tetapi usaha-usaha oleh pengkhianat bahasa untuk meruntuhkan martabat bahasa kebangsaan kita ini membuatkan kosa kata tersebut telah hilang. Antara perkataan-perkataan yang kononnya  telah dimodenkan:  
Belanjawan
Bajet
Piawaian
Standard
Kewajipan
Obligasi
Iktisab
Ekonomi
Kesimpulan
Konklusi

       Pada pendapat saya, tidak ada apa salahnya jika kita terus menggunakan kosa kata yang sudah memang ada dalam bahasa kita. Tidak ada perbezaan makna langsung jika bahasa Melayu digunakan. Tidak timbul sebenarnya moden atau tidak sesebuah bahasa itu jika kita menggunakannya. Saya tidak menolak kita terpaksa menyerap masuk bahasa luar untuk memenuhi keperluan bahasa kita ataupun bagi menyampaikan sesuatu makna dengan lebih tepat. 
      Walau bagaimanapun saya sangat berharap penggunaan kosa kata bahasa Melayu lebih diutamakan apabila sudah ada perkataan tersebut yang boleh digunakan. Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini. Sebarang komen atau cadangan boleh dikongsikan dalan ruangan di bawah. Terima kasih.

Tuesday, 9 October 2012

GORENG PISANG KE?


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua pembaca sekalian. Kali ini saya ingin berbicara mengenai makanan. Memang sangat sedap jika dapat menjamu makanan yang panas-panas ketika cuaca sejuk, maklumlah sedang musim hujan. Jangan terliur pula anda yang sedang membaca.
Situasinya adalah sewaktu saya pulang dari kelas, disebabkan rasa perut yang agak kelaparan saya singgah di sebuah gerai di tepi jalan berhampiran depan kampus untuk membeli kuih sebagai kudapan waktu petang. Semasa saya sedang sibuk-sibuk memilih untuk membeli kuih, datang seorang lagi pembeli lain dan dia bertanya kepada penjual “ mak cik, goreng pisang ada tak?”.
Sebagai pelajar yang mengambil program Pendidikan Bahasa Melayu saya hanya mengelengkan kepala kerana penggunaan bahasa Melayu yang salah. Penggunaan perkataan “ goreng pisang” adalah salah kerana melanggar hukum D-M. Hal ini kerana dalam hukum D-M, perkara yang diterangkan haruslah hadir dahulu sebelum perkara yang menerangkan. Dalam hal ini, ‘goreng’  merupakan perkataan yang menerangkan tentang ‘pisang’. Perkataan sebenar ialah pisang goreng.
Jika perkataan ‘goreng’ dihadapankan, frasa tersebut merupakan frasa kerja bukannya kata nama. Yang musykilnya, kenapa tiada orang menyebut ‘goreng nasi’? Pandai pula hendak menyebutnya dengan betul ‘nasi goreng’. Sekadar itu sahaja coretan saya buat kali ini. jika ada sebarang perkongsian lain, diharap dapat dikongsi bersama-sama di ruangan komen. Sekain terima kasih.

Monday, 8 October 2012

BEGITU RUPANYA.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca setia blog saya ini. Pada kali ini saya ingin berkongsi satu kisah di mana saya telah masuk ke dalam kelas bagi kursus Drama Dan Amali Seni Lakon. Semasa di dalam kelas, saya telah terdengar beberapa orang pelajar sedang berbual. Seorang pelajar dari Kelantan manakala seorang lagi dari Johor. 
Dalam perbualan tersebut,  pelajar dari Kelantan telah berkata menggunakan dialeknya ‘ jolo ko ?‘. Apabila pelajar dari Johor mendengarnya, dia seakan-akan kebingungan kerana tidak memahami perkataan tersebut . Apa yang ingin dikatakan oleh pelajar dari Kelantan itu. Sebenarnya pelajar Kelantan itu bermaksud ‘ betul ke ?‘. Melihat keadaan tersebut, saya terus ketawa “ hahaha”.
Dalam hal berkaitan dengan komunikasi lebih-lebih lagi berkomunikasi dengan orang yang di luar daripapda komuniti kita seharusnya menggunakan bahasa yang boleh difahami oleh kedua-dua belah pihak bagi melahirkan satu suasana komunikasi berkesan. Dalam masyarakat kita di Malaysia, bahasa yang sesuai dugunakan ialah bahasa Melayu baku atau bahasa melayu standard. Dalam situasi di atas, pelajar dari Kelantan telah menggunakan dialek negerinya dan telah menyebabkan pelajar dari Johor tidak memahami perkataan tersebut.

         Oleh itu, sebagai pelajar yang terdiri daripada pelbagai budaya dan latar belakang yang berbeza, kita digalakkan juga mempelajari bahasa dan budaya orang lain supaya kita tidaklah terpinga-pinga dan tahulah juga apa yang diperkatakan oleh rakan kita yang berasal dari negeri lain. Sekian sahaja perkongsian say buat kali ini. Terima kasih kerana tekun membaca.






Friday, 5 October 2012

ALAHAI BUDAK...


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Situasi saya pada kali ini masih lagi berkisar tentang situasi di masjid. Ketika itu saya bersembahyang jumaat, Setelah masuk ke dalam masjid sekitar pukul 1 petang, saya duduk di sebuah anak tangga di penjuru masjid. Dari situ, saya memerhati tingkah laku para jemaah yang berada di dalam masjid. Di samping itu, tidak kurang juga kanak-kanak yang sedang bermain di bahagian belakang masjid.
Mereka berkejaran, melombat, bergelak ketawa dan sebagainya. Apabila waktu untuk menunaikan solat tiba, saya mula masuk ke dalam masjid dan mula membetulkan saf dan kemudiannya solat. Dari mula solat sehingga selesai, saya mendapati bahawa keriuhan kanak-kanak yang sedang leka bermain masih lagi tidak berhenti. Terus terang saya katakana saya tidak khusyuk pada solat Jumaat tersebut.
 Mengapakah situasi ini berlaku ? Adakah kanak-kanak ini memang datang ke masjid untuk bermain ? Dimanakah perginya ibu bapa mereka ? Pada pendapat saya, golongan kanak-kanak ini tidak datang secara sendiri melainkan mengikut bapanya. Namun, apabila tiba di masjid, bapa bersikap lepas tangan dan membiarkan anak-anak mereka bermain bersama rakan yang lain. Sikap lepas tangan ini menyebabkan anak mereka menjadi degil dan membuat bising di sekitar masjid.
 Sampai bilakah situasi ini akan berterusan? Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu peka terhadap anak-anak supaya mereka tidak diabaikan untuk terus membuat perkara yang tidak baik. Sekian sahaja buat kali ini. semoga kita memikirkan perkara ini bersama dan dapat melaksanakan tindakan yang sepatutnya. Terima kasih kerana sudi membaca.

Thursday, 4 October 2012

SELIPAR KE JEPUN???


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Seperti kebiasaannya, saya akan meneruskan perkongsian saya berkenaan perkara yang ada kaitan sosiolinguistik yang berlaku di persekitaran saya. Situasi pada hari ini adalah seperti berikut, selepas saya selesai menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek Tg. Malik, saya melihat seorang pemuda yang sedang mnudar-mandir mencari sesuatu. Setelah sekian lama ke hulu ke hilir, saya akhirnya dapat meneka apakah yang sedang berlaku. Rupa-rupanya pemuda tersebut sedang mencari seliparnya.
Walau bagaimanapun, usahanya gagal kerana seliparnya itu tadi telah dicuri dan telah dibawa pulang oleh insan yang tidak bertamadun itu. Sebenarnya sudah kerap kali saya melihat kejadian seperti ini berlaku di masjid terutamamnya selepas solat Jumaat. Pada pandangan saya, masalah kecurian selipar atau kasut di kawasan masjid sudah lama berlaku. Namun, tidak ada sebarang tindakan susulan daripada pihak tertentu. Dengan itu, mereka semakin berani untuk terus melakukan tindakan jahat ini.
Berdasarkan  apa yang saya lihat, saya mula berfikir adakah mereka ini tidak takut dengan dosa? Lebih-lebih lagi mereka mencuri bukan di tempat awam, tetapi di dalam rumah Allah. Saya berharap agar suatu hari nanti, individu yang terlibat dalam kegiatan ini sedar akan kesalahan mereka, insaf dan memohon keampunan daripada semua. Sekian sahaj buat kali ini. sebarang komen atau cadangan bolehlah dikongsikan bersama-sama.

Wednesday, 3 October 2012

LAWAK KE?


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua anda di luar sana. Situasi yang saya ingin saya konsikan kepada semua pembaca blog saya ini adalah berkaitan dengan pepatah Melayu yang telah di patah-patahkan oleh orang kita sendiri. Ceritanya begini, saya  telah ditugaskan untuk mencari rakaman video berkaitan aktiviti pengurusan masa untuk dijadikan sebagai modul  kursus Pembimbing Rakan Sebaya.
Tema bagi video tersebut ialah ‘pengurusan masa’ iaitu berkenaan dengan tajuk yang kumpulan saya dapat. semasa di rumah, saya memulakan tugasan saya dengan mula mengakses internet daripada sumber  ‘ YOU TUBE’ untuk mencari video tersebut. Semasa saya sedang mencari-cari rakaman video tersebut, saya telah membuka satu video yang memaparkan satu siaran televisyen yang melibatkan beberapa  artis ‘lawak’ tempatan. Dalam satu babak, artis tersebut cuba berjenaka dengan mengambil satu pepatah melayu sebagai bahannya.
 Pepatah yang telah diubahsuai itu berbunyi begini   “ berat sama dijinjing, ringan serupa anjing”. Agak kasar bunyinya. Pepetah itu sepatutnya berbunyi seperti ini “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Saya melihat bahawa pepatah yang digunakan untuk berjenaka iaitu “ berat sama dijinjing, ringan serupa anjing” tidak sepatutnya disebut dalam siaran televisyen tersebut kerana telah mencacatkan  dan secara tidak langsung telah menghina pepatah melayu itu sendiri, malahan siaran itu juga telah disaksikan oleh ramai penonton.       
Bagaimana jika orang lain terikut-ikur dengan apa yang diperkatakan, alangkah merosakkan bahasa kita nanti. Sangat memilukan. Sekian saja buat minggu ini. terima kasih kerana sudi membaca.


Tuesday, 2 October 2012

OPOCOT!!!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua peminat setia blog saya ini. Pada kali ini saya ingin mengongsikan satu peristiwa yang agak lucu jika anda pernah menghadapinya iaitu berkenaan latah. Situasinya ialah,  saya pergi ke kuliah Keterampilan Penulis seperti biasa pada pukul 7.50  pagi. Setelah sampai, saya melihat beberapa orang pelajar sudah berada di dalam  kelas. Ketika saya sedang mengeluarkan buku, saya terdengar suara seorang pelajar perempuan yang berkata “ oh mati ” dan beberapa orang pelajar lain sedang memtertawakan pelajar tersebut. Saya yang juga terdengar orang berkata tersebut juga turut tertawa melihat gelagat pelajar tersebut.
 Apabila memerhatikan tingkah laku pelajar tersebut, saya mendapati bahawa dia seorang yang latah. Pada pendapat saya, sifat latah dalam masyarakat melayu seakan-akan sudah menjadi satu amalan atau budaya. Jika ke mana-mana sahaja ada sahaja tabiat melatah ini. sungguh buruk rupanya jika melihat orang melatah. Apa yang tidak seronoknya, mereka melatah dengan menyebut benda-benda yang kotor. Kebanyakan orang yang latah bermula apabila mereka seolah-olah meniru aksi latah itu dan lama-kelamaan sudah menjadi tabiat mereka.
Walau bagaimanapun, sekiranya kita sudah mempunyai sifat sedemikian, kita tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar apabila kita melatah. Entah apa agaknya ubat untuk menyembuhkan penyakit melatah ini. Alangkah baik jika kata-kata yang dikeluarkan adalah berupa zikir atau selawat ke atas nabi. Bukan sahaja orang lain yang mendengarnya tidak berasa jelik, tetapi boleh dikira sebagai pahala insyaAllah. Sekian sahaja catatan saya pada kali ini. sekian terima kasih.



Monday, 1 October 2012

PEPATAH YANG PATAH.




Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang sudi membaca blog saya ini. situasi saya pada kali ini ialah ketika saya pulang ke rumah setelah tamat waktu kuliah dalam lebih kurang pukul 5 petang.  Di rumah, saya telah menghidupkan komputer riba saya dan melayari beberapa blog dan Facebook bagi mengikuti perkembangan semasa dan mencari maklumat mengenai tugasan.
Sedang asyik melayari  Facebook, saya terpandang akan satu artikel yang berunsur jenaka yang berkaitan juga dengan pepatah-pepatah melayu. Artikel itu telah dikongsi oleh beberapa kenalan Facebook saya pada dinding atau   ‘ wall ‘ facebook masing-masing. Pepatah yang telah diubahsuai itu diberi tajuk ‘Pepatah yang telah dipatahkan . Antara pepatah tersebut adalah seperti berikut :
1                                Biar putih tulang, jangan kuning gigi
                 Hendak seribu daya, tak hendak tak apa
               Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut
Entah apa-apa yang mereka telah lakukan kepada pepatah Melayu ini. sudah elok dan cantik orang-orang dahulu mencipta pepetah tersebut, anak muda pada hari ini pula telah merosakkan pepatah tersebut. Suatu perkara yang amat menyedihkan. Pada pandangan saya, kita tidak seharusnya mengubah suai pepatah-pepatah tersebut kerana hal tersebut mencerminkan bahawa bahasa melayu tidak mempunyai nilai dan masyarakatnya pula tidak membunyai adab sedangkan kita mengetahui bahawa bahasa melayu merupakan bahasa kebangsaan kita.        
Keadaan menjadi lebih teruk apabila pepatah ini mula disebar melalui pelbagai medium daripada media massa. Kesan masa panjangnya, bahasa Melayu akan menjadi bahasa mainan semua orang jika tiada tindakan yang dilakukan bagi menyekat perkara ini. Marilah kita sama-sama fikirkan masa depan bahasa kebangsaan kita ini. diharapkan kita tidak tergolong dalam golongan yang menjahanamkan bahasa ini. sekian buat kali ini.

Friday, 28 September 2012

SISTEM PESANAN RINGKAS.





Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat-sihat hendaknya. Kalau tidak sihat, saya nasihatkan anda untuk mengambil ubat biar cepat sihat. Jika tidak, boleh bercelaru fikiran. Bercakap mengenai kecelaruan, suka saya untuk berkongsi satu kisah berkenaan kecelaruan komunikasi disebabkan penggunaan bahasa mudah atau lebih mudah difahami sebagai bahasa SMS. Saya percaya semua orang menggunakan bahasa SMS dan saya sendiri mengaku menggunakan bahasa SMS.


Bukan apa, lebih ringkas dan cepat untuk menaip pesanan. Walau bagaimanapun, kelemahan menggunakan bahasa SMS ini adalah mudah berlaku salah faham di antara pemberi pesanan dan juga penerima pesanan. Sudahlah perkataan tidak dieja dengan penuh, tanda baca lagilah tidak disertakan sekali. Sebagai contoh, “ble dtg ptg ni”. Banyak maksud pesanan yang boleh kita rungkai berdasarkan contoh tersebut. Pertama, kita boleh anggap penghantar mesej menanyakan “boleh saya datang petang ini”. Kedua kita juga boleh menganggap mesej tersebut bermakna “bila mahu dating? ada hal penting ini”.

 Mungkin anda semua pernah menghadapi salah faham seperti ini bukan. Pendapat saya memang saya faham, kita pada masa ini dunia memang bergerak dengan pantasnya dan semua benda pun turut mahu dilakukan dengan pantas tapi kita harus ingat bahawa perkara yang kita anggap remeh seperti menghantar pesanan dan mengharapkan orang lain memahami apa yang kita cuba sampaikan mungkin akan berakhir dengan sesuatu yang ita tidak duga. Lebih-lebih lagi melibatkan perkara yang sangat penting.

Nasihat saya kepada orang ramai dan juga mengingatkan diri saya sendiri, jangan kedekut dengan ruang mesej anda. Tidak ada apa akan rugi, malahan akan memudahkan semua pihak amnya. Sekian diari harian saya buat kali ini. Terima kasih kerana setia membaca sehingga ke akhirnya. sebarang komen daripada anda semua sangat say alu-alukan.



Thursday, 27 September 2012

DAH BESAR PUN PELAT LAGI.



Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang mengikuti blog saya yang tidak seberapa ini. Saya ingin bertanya kepada anda semua, pernahkah anda berbual-bual dengan orang yang bukan dari golongan orang Melayu? Saya pasti jawapan semestinya pernah bukan. Hahahaha. Saya mahu gelak sedikit kerana saya yang ajukan soalan dan saya juga yang menjawabnya. Pernah dulu saya ada menegur kakak saya yang pada ketika itu sedang bercakap dengan seorang perempuan berbangsa Cina kerana kakak saya bercakap menggunakan bahasa Melayu yang salah sama sekali.

Apakan tidaknya, dia pergi ikut pelat orang Cina itu bercakap. Saya berkata kepada kakak saya “macam mana orang Cina tu nak pandai cakap Melayu kalau kau pun cakap pelat macam dia”. Contoh pelat tersebut seperti “itu sayur berapa ringgit”, “lu kasik wa mulah sikit la itu barang” dan lain-lain lagi. Naik jelik saya mendengarnya. Bagi saya, apa salahnya jika kita sebagai orang Melayu bercakap bahasa yang betul walaupun sedang berkomunikasi dengan orang bukan Melayu.

Secara tidak langsung kita ini menjadi guru secara senyap kepada golongan bukan Melayu untuk bercakap bahasa Melayu dengan betul. Perkara yang lebih elok lagi, kita sendiri boleh membetulkan kata-kata dan susunan ayat mereka dalam berbahasa Melayu. Apa yang menyedihkan, kita pula sebagai orang Melayu yang mengikut gaya percakapn mereka. Bagaimana mereka boleh bercakap dalam menggunakan bahasa Melayu dengan betul sekiranya begitu.

 Marilah kita merenung kembali apa yang kita katakan dan apa yang sebenarnya kita mahukan dalam uasaha mermatabatkan bahasa Melayu kita yang tercnita ini. Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini, semoga kita dapat berkongsi manfaat yang bersama.


Wednesday, 26 September 2012

SUDAH TIDAK BOLEH BUAT APA-APA.



Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada peminat setia blog “Bahasa Menyatukan Bangsa”. Sebagai pendahuluan, saya ingin memberitahu kepada semua bahawa saya merupakan seorang yang sangat minat terhadap sukan dan saya sendiri tidak terlepas daripada menyertai sukan yang dipertandingkan itu. Berada dalam golongan orang yang terlibat dengan sukan memaksa saya untuk berkomunikasi menggunakan laras sukan untuk berbual-bual dengan mereka.

Pada pengamatan saya, penggunaan bahasa Melayu dalam golongan atlet sukan sangat sukar untuk diperbetulkan berbanding dengan situasi perbualan yang lain seperti dalam situasi mesyuarat, berhubung dengan orang lain secara formal, bahasa dalam televisyen dan sebagainya. Berdasarkan pengalaman saya, bahasa yang digunakan bercampur denagn bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris disebabkan oleh pengaruh sukan yang sangat kuat daripada negara-negara Barat serta daripada Amerika Syarikat. Istilah-istilah sukan yang lebih ringkas dan lebih tepat serta penggunaannya yang kerap dalam setiap ulasan sukan di televisyen sangat mempengaruhi gaya percakapan seseorang atlet itu.

Secara jujurnya saya mengaku saya juga terpengaruh dengan bahasa sukan ini. Oleh sebab itu tajuk yang saya kemukankan pada hari ini ialah “Sudah Tidak Boleh Buat Apa-apa”.  Masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh atlet Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu tetapi juga atlet-atlet luar negara yang turut menggunakan bahasa rojak antara bahasa kebangsaan mereka dan juga bahasa Inggeris.

 Saya percaya, pakar bahasa daripada seluruh dunia juga sukar untuk menyelesaikan perkara ini. Sekadar ini sahaja perkongsian saya pada kali ini. Jika ada sebarang perkongsian daripada pihak anda, ruangan komen sentiasa terbuka untuk diisi dan dipenuhi. Sekian, terima kasih.

Tuesday, 25 September 2012

KENAPA NOMBOR DUA???


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya yang setia. Pada kali ini, saya ingin berkongsi satu cerita yang agak kurang enak untuk dikongsikan. Tajuk situasi saya pada kali ini ialah “Kenapa Jadi Nombor Dua???”. Hal ini sebenarnya sudah banyak berlaku di depan mata kita tetapi kita tidak ambil kisah langsung berkenaan perkara tersebut. Perkara yang yang saya maksudkan ialah penggunaan bahasa Inggeris diutamakan berbanding dengan bahasa Melayu.

Contoh boleh dilihat pada gambar yang telah saya sertakan. Apa yang menyedihkan adalah keutamaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dibuat oleh agensi kerajaan sendiri. Hal ini membuatkan saya terfikir, adakah apa yang dilaung-laungkan oleh kerajaan hanya satu omong kosong ataupun cakap tidak serupa bikin? Suatu yang mengecewakan apabila pihak yang kita harapkan untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri gagal untuk memainkan peranannya seterusnya secara perlahan meranapkan maruah bahasa Melayu kita ini.

Pada pendapat saya, tiada salahnya jika bahasa Melayu didahulukan dalam penggunaannya pada papan tanda. Bukanlah perkara tersebut mengubah apa-apa makna pada papan tanda tersebut, lebih-lebih lagi kita duduk di dalam negara yang bernama Malaysia dan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi kebangsaan. Saya sekeras-kerasnya mahu bahasa Melayu diutamakan dalam pelbagai hal. Bukan mahu beremosi, tetapi merasa beban untuk mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu di negara Malaysia tercinta ini.

Sebelum menutup coretan saya pada kali ini, saya ingin memohon maaf andai terdapat silap dan salah dalam penulisan saya. Segala komen dan sokongan anda sangat saya harapkan. Terima kasih.