Tuesday, 25 September 2012

KENAPA NOMBOR DUA???


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya yang setia. Pada kali ini, saya ingin berkongsi satu cerita yang agak kurang enak untuk dikongsikan. Tajuk situasi saya pada kali ini ialah “Kenapa Jadi Nombor Dua???”. Hal ini sebenarnya sudah banyak berlaku di depan mata kita tetapi kita tidak ambil kisah langsung berkenaan perkara tersebut. Perkara yang yang saya maksudkan ialah penggunaan bahasa Inggeris diutamakan berbanding dengan bahasa Melayu.

Contoh boleh dilihat pada gambar yang telah saya sertakan. Apa yang menyedihkan adalah keutamaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dibuat oleh agensi kerajaan sendiri. Hal ini membuatkan saya terfikir, adakah apa yang dilaung-laungkan oleh kerajaan hanya satu omong kosong ataupun cakap tidak serupa bikin? Suatu yang mengecewakan apabila pihak yang kita harapkan untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri gagal untuk memainkan peranannya seterusnya secara perlahan meranapkan maruah bahasa Melayu kita ini.

Pada pendapat saya, tiada salahnya jika bahasa Melayu didahulukan dalam penggunaannya pada papan tanda. Bukanlah perkara tersebut mengubah apa-apa makna pada papan tanda tersebut, lebih-lebih lagi kita duduk di dalam negara yang bernama Malaysia dan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi kebangsaan. Saya sekeras-kerasnya mahu bahasa Melayu diutamakan dalam pelbagai hal. Bukan mahu beremosi, tetapi merasa beban untuk mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu di negara Malaysia tercinta ini.

Sebelum menutup coretan saya pada kali ini, saya ingin memohon maaf andai terdapat silap dan salah dalam penulisan saya. Segala komen dan sokongan anda sangat saya harapkan. Terima kasih.



No comments:

Post a Comment