Friday, 5 October 2012

ALAHAI BUDAK...


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Situasi saya pada kali ini masih lagi berkisar tentang situasi di masjid. Ketika itu saya bersembahyang jumaat, Setelah masuk ke dalam masjid sekitar pukul 1 petang, saya duduk di sebuah anak tangga di penjuru masjid. Dari situ, saya memerhati tingkah laku para jemaah yang berada di dalam masjid. Di samping itu, tidak kurang juga kanak-kanak yang sedang bermain di bahagian belakang masjid.
Mereka berkejaran, melombat, bergelak ketawa dan sebagainya. Apabila waktu untuk menunaikan solat tiba, saya mula masuk ke dalam masjid dan mula membetulkan saf dan kemudiannya solat. Dari mula solat sehingga selesai, saya mendapati bahawa keriuhan kanak-kanak yang sedang leka bermain masih lagi tidak berhenti. Terus terang saya katakana saya tidak khusyuk pada solat Jumaat tersebut.
 Mengapakah situasi ini berlaku ? Adakah kanak-kanak ini memang datang ke masjid untuk bermain ? Dimanakah perginya ibu bapa mereka ? Pada pendapat saya, golongan kanak-kanak ini tidak datang secara sendiri melainkan mengikut bapanya. Namun, apabila tiba di masjid, bapa bersikap lepas tangan dan membiarkan anak-anak mereka bermain bersama rakan yang lain. Sikap lepas tangan ini menyebabkan anak mereka menjadi degil dan membuat bising di sekitar masjid.
 Sampai bilakah situasi ini akan berterusan? Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu peka terhadap anak-anak supaya mereka tidak diabaikan untuk terus membuat perkara yang tidak baik. Sekian sahaja buat kali ini. semoga kita memikirkan perkara ini bersama dan dapat melaksanakan tindakan yang sepatutnya. Terima kasih kerana sudi membaca.

Thursday, 4 October 2012

SELIPAR KE JEPUN???


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Seperti kebiasaannya, saya akan meneruskan perkongsian saya berkenaan perkara yang ada kaitan sosiolinguistik yang berlaku di persekitaran saya. Situasi pada hari ini adalah seperti berikut, selepas saya selesai menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek Tg. Malik, saya melihat seorang pemuda yang sedang mnudar-mandir mencari sesuatu. Setelah sekian lama ke hulu ke hilir, saya akhirnya dapat meneka apakah yang sedang berlaku. Rupa-rupanya pemuda tersebut sedang mencari seliparnya.
Walau bagaimanapun, usahanya gagal kerana seliparnya itu tadi telah dicuri dan telah dibawa pulang oleh insan yang tidak bertamadun itu. Sebenarnya sudah kerap kali saya melihat kejadian seperti ini berlaku di masjid terutamamnya selepas solat Jumaat. Pada pandangan saya, masalah kecurian selipar atau kasut di kawasan masjid sudah lama berlaku. Namun, tidak ada sebarang tindakan susulan daripada pihak tertentu. Dengan itu, mereka semakin berani untuk terus melakukan tindakan jahat ini.
Berdasarkan  apa yang saya lihat, saya mula berfikir adakah mereka ini tidak takut dengan dosa? Lebih-lebih lagi mereka mencuri bukan di tempat awam, tetapi di dalam rumah Allah. Saya berharap agar suatu hari nanti, individu yang terlibat dalam kegiatan ini sedar akan kesalahan mereka, insaf dan memohon keampunan daripada semua. Sekian sahaj buat kali ini. sebarang komen atau cadangan bolehlah dikongsikan bersama-sama.

Wednesday, 3 October 2012

LAWAK KE?


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua anda di luar sana. Situasi yang saya ingin saya konsikan kepada semua pembaca blog saya ini adalah berkaitan dengan pepatah Melayu yang telah di patah-patahkan oleh orang kita sendiri. Ceritanya begini, saya  telah ditugaskan untuk mencari rakaman video berkaitan aktiviti pengurusan masa untuk dijadikan sebagai modul  kursus Pembimbing Rakan Sebaya.
Tema bagi video tersebut ialah ‘pengurusan masa’ iaitu berkenaan dengan tajuk yang kumpulan saya dapat. semasa di rumah, saya memulakan tugasan saya dengan mula mengakses internet daripada sumber  ‘ YOU TUBE’ untuk mencari video tersebut. Semasa saya sedang mencari-cari rakaman video tersebut, saya telah membuka satu video yang memaparkan satu siaran televisyen yang melibatkan beberapa  artis ‘lawak’ tempatan. Dalam satu babak, artis tersebut cuba berjenaka dengan mengambil satu pepatah melayu sebagai bahannya.
 Pepatah yang telah diubahsuai itu berbunyi begini   “ berat sama dijinjing, ringan serupa anjing”. Agak kasar bunyinya. Pepetah itu sepatutnya berbunyi seperti ini “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Saya melihat bahawa pepatah yang digunakan untuk berjenaka iaitu “ berat sama dijinjing, ringan serupa anjing” tidak sepatutnya disebut dalam siaran televisyen tersebut kerana telah mencacatkan  dan secara tidak langsung telah menghina pepatah melayu itu sendiri, malahan siaran itu juga telah disaksikan oleh ramai penonton.       
Bagaimana jika orang lain terikut-ikur dengan apa yang diperkatakan, alangkah merosakkan bahasa kita nanti. Sangat memilukan. Sekian saja buat minggu ini. terima kasih kerana sudi membaca.


Tuesday, 2 October 2012

OPOCOT!!!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua peminat setia blog saya ini. Pada kali ini saya ingin mengongsikan satu peristiwa yang agak lucu jika anda pernah menghadapinya iaitu berkenaan latah. Situasinya ialah,  saya pergi ke kuliah Keterampilan Penulis seperti biasa pada pukul 7.50  pagi. Setelah sampai, saya melihat beberapa orang pelajar sudah berada di dalam  kelas. Ketika saya sedang mengeluarkan buku, saya terdengar suara seorang pelajar perempuan yang berkata “ oh mati ” dan beberapa orang pelajar lain sedang memtertawakan pelajar tersebut. Saya yang juga terdengar orang berkata tersebut juga turut tertawa melihat gelagat pelajar tersebut.
 Apabila memerhatikan tingkah laku pelajar tersebut, saya mendapati bahawa dia seorang yang latah. Pada pendapat saya, sifat latah dalam masyarakat melayu seakan-akan sudah menjadi satu amalan atau budaya. Jika ke mana-mana sahaja ada sahaja tabiat melatah ini. sungguh buruk rupanya jika melihat orang melatah. Apa yang tidak seronoknya, mereka melatah dengan menyebut benda-benda yang kotor. Kebanyakan orang yang latah bermula apabila mereka seolah-olah meniru aksi latah itu dan lama-kelamaan sudah menjadi tabiat mereka.
Walau bagaimanapun, sekiranya kita sudah mempunyai sifat sedemikian, kita tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar apabila kita melatah. Entah apa agaknya ubat untuk menyembuhkan penyakit melatah ini. Alangkah baik jika kata-kata yang dikeluarkan adalah berupa zikir atau selawat ke atas nabi. Bukan sahaja orang lain yang mendengarnya tidak berasa jelik, tetapi boleh dikira sebagai pahala insyaAllah. Sekian sahaja catatan saya pada kali ini. sekian terima kasih.



Monday, 1 October 2012

PEPATAH YANG PATAH.




Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang sudi membaca blog saya ini. situasi saya pada kali ini ialah ketika saya pulang ke rumah setelah tamat waktu kuliah dalam lebih kurang pukul 5 petang.  Di rumah, saya telah menghidupkan komputer riba saya dan melayari beberapa blog dan Facebook bagi mengikuti perkembangan semasa dan mencari maklumat mengenai tugasan.
Sedang asyik melayari  Facebook, saya terpandang akan satu artikel yang berunsur jenaka yang berkaitan juga dengan pepatah-pepatah melayu. Artikel itu telah dikongsi oleh beberapa kenalan Facebook saya pada dinding atau   ‘ wall ‘ facebook masing-masing. Pepatah yang telah diubahsuai itu diberi tajuk ‘Pepatah yang telah dipatahkan . Antara pepatah tersebut adalah seperti berikut :
1                                Biar putih tulang, jangan kuning gigi
                 Hendak seribu daya, tak hendak tak apa
               Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut
Entah apa-apa yang mereka telah lakukan kepada pepatah Melayu ini. sudah elok dan cantik orang-orang dahulu mencipta pepetah tersebut, anak muda pada hari ini pula telah merosakkan pepatah tersebut. Suatu perkara yang amat menyedihkan. Pada pandangan saya, kita tidak seharusnya mengubah suai pepatah-pepatah tersebut kerana hal tersebut mencerminkan bahawa bahasa melayu tidak mempunyai nilai dan masyarakatnya pula tidak membunyai adab sedangkan kita mengetahui bahawa bahasa melayu merupakan bahasa kebangsaan kita.        
Keadaan menjadi lebih teruk apabila pepatah ini mula disebar melalui pelbagai medium daripada media massa. Kesan masa panjangnya, bahasa Melayu akan menjadi bahasa mainan semua orang jika tiada tindakan yang dilakukan bagi menyekat perkara ini. Marilah kita sama-sama fikirkan masa depan bahasa kebangsaan kita ini. diharapkan kita tidak tergolong dalam golongan yang menjahanamkan bahasa ini. sekian buat kali ini.