Thursday, 18 October 2012

MACAM BUDAK-BUDAK!


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca sekalian. Situasi yang saya ingin kongsikan pada kali ini berkenaan perangai manusia semasa berada di perpustakaan. Situasi ini berlaku semasa saya berada di Perpustakaan Tuanku Bainun untuk mencari bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
Semasa berada di dalam perpustakaan saya terus mencari buku di bahagian hujung rak. Berhampiran dengan tempat yang saya duduk, terdapat sekumpulan pelajar sedang membuat perbincangan. Apa yang saya lihat ialah suasana yang agak bising dengan celoteh dan gelak tawa daripada mereka dan keadaan tidak seolah-olah tidak seperti berada di perpustakaan.
Mereka langsung tidak menghiraukan pelajar-pelajar lain di sekeliling yang turut berada di perpustakaan tersebut. Apa yang saya agak terkilan, mereka semua merupakan mahasiswa dan mahasiswa yang mempunyai pemikiran yang sangat matang. Sebagai seorang pelajar ataupun mahasiswa dan mahasiswi, kita seharusnya faham mengenai etika semasa berada di dalam perpustakaan.
Kita harus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu tidak membuat bising sewaktu berada di perpustakaan. Namun demikian, perkara ini mungkin diambil mudah oleh pelajar berkenaan sehingga mereka lupa dan mengabaikan nilai dan tanggungjawab mereka sewaktu berada di dalam perpustakaan. Keadaan ini akan menimbulkan masalah kepada orang ramai sekiranya masalah sebegini tidak dibendung.
Keadaan yang sepatutnya senyap ketika di dalam perpustakaan bagi memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar untuk belajar telah diganggu oleh anasir-anasir yang kurang baik. Di harap perkara tersebut tidak akan berlaku lagi. Sekian sahaja tulisan saya buat kali ini. Terima kasih kerana sudi terus membaca.

No comments:

Post a Comment